Saturday, October 12, 2013

Coretan Pengalaman Mesyuarat CPA Di Afrika Selatan – perlu ada dasar liberal di negara majmuk



Coretan Pengalaman Mesyuarat CPA Di Afrika Selatan – perlu ada dasar liberal di negara majmuk

YB Wong Hon Wai
Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam merangkap Pengerusi Kira-kira Awam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Pada awal September 2013, saya bersama beberapa rakan sejawat telah mewakili Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang melawat ke Johannesberg, Afrika Selatan untuk menghadiri Persidangan Ke-59 Commonwealth Parliamentary Association (CPA).  Ini merupakan pengalaman yang sangat ternilai.   Commonwealth Parliamentary Association yang ditubuhkan pada 1911 dulu dikenali sebagai Empire Parliamentary Association, ahli-ahlinya terdiri daripada wakil rakyat dari 210  Parlimen dan Dewan Undangan Negeri dari negara-negara yang pernah diperintah oleh British.

Saya pernah menghadiri mesyuarat antarabangsa yang lain di mana penggunaan headphone adalah perkara lumrah.  Cara kegunaan headphone ialah tekan butang 1 diterjemah ke dalam Bahasa Portugis, tekan butang 2 Bahasa Mandarin, tekan butang 3 Bahasa Perancis, tekan butang 4 Bahasa Inggeris dan seumpamanya.  Pengagihan headphone tidak perlu di mesyuarat CPA sebab Bahasa Inggeris telah menjadi lingua franca di  Commonwealth.  

Di persidangan kali ini, wakil dari Kepulauan Falkland telah membentangkan satu laporan yang amat bersejarah.  Kepulauan Falkland merupakan wilayah seberang laut British di selatan Negara Argentina di Amerika Selatan.  Pada 10 Mac 2013, Kepulauan Falkland yang mempunyai 3,000 penduduk telah mengadakan referendum.  Dalam 1,672 pengundi yang layak, 98.8% telah memilih untuk mengekalkan kedudukan wilayah seberang laut British.  Persidangan
Commonwealth Parliamentary Association kali ini telah menerima laporan berkenaan keputusan tersebut.

Saya menyatakan laporan ini bersejerah keranan pada tahun 1982, tentera Argentina telah mencerobohi masuk ke Kepulauan Falkland.  British menghantar tenteranya mempertahankan Kepulauan Falkland. Selepas berperang selama 74 hari, tentera British telah menghalau tentera Argentina keluar dari Kepulauan Falkland.  Peperangan ini telah mengukuhkan kedudukan politik Perdana Menteri British pada masa itu, Madam Margaret Thatcher.  Lebih daripada 900 orang telah terbunuh dalam peperangan ini.

Maka, laporan dari Kepulauan Falkland adalah istimewa kerana ini merupakan kes rujukan negara kecil membuat keputusan terhadap masa depan sendiri.

Di samping pelbagai usul dan dialog, saya juga menghadiri satu forum yang menyentuh tentang isu masyarakat yang kian berusia dan polisi untuk menghadapinya.   Dalam forum tersebut, seorang ahli parlimen British yang berusia 86 tahun telah mengingatkan para wakil rakyat untuk memikirkan bagaimana untuk menggubal polisi dan dasar yang merangkumi penjagaan warga emas, kebajikan, pencen, perumahan untuk menghadapi cabaran penduduk-penduduk yang semakin tua.  Ahli Parlimen dari Singapura melaporkan purata umur hayat rakyat negara tersebut adalah 80 tahun.  Ahli Parlimen Kanada juga melaporkan bahawa umur bersara negara tersebut adalah 67 tahun.  Malaysia perlu meneliti isu masyarakat yang semakin berusia dan menggubal polisi dan dasar yang berkaitan.  Adakah kita sendiri telah merancang terhadap hayat yang semakin lanjut?

Selama seminggu saya berada di Afrika Selatan, surat khabar tempatan telah membuat liputan yang luas tentang berita Nelson Mandela keluar dari hospital dan beristirehat di rumah.  Kami mendapati ramai anggota polis berjaga di luar rumah beliau semasa kereta kami melaluinya.  Para media berkhemah di hadapan rumah beliau untuk mendapatkan berita dan gambar terkini.  Nelson Mandela telah menentang dasar Apartheid seumur hidup dan telah dipenjarakan selama 27 tahun, berjuang untuk kebebesan rakyat Afrika Selatan.   Beliau telah dipilih sebagai Presiden Afrika Selatan selama 5 tahun dan beliau telah mencontohi Presiden George Washington dengan tidak memegang jawatan Presiden seumur hidup.   

Saya amat terharu dengan gambar-gambar dan pameran di Muzium Apartheid, Johannersberg.   Rakyat Afrika Selatan telah menentang dasar Apartheid dengan nyawa mereka.  Kita tidak boleh bertolak ansur dengan dasar Apartheid yang mana rakyat dipecahkan dan diperintah mengikut warna kulit.  Semasa zaman Apartheid, terdapat keadaan restoran yang menggantung papan tanda yang hanya membenarkan kemasukan orang putih atau hanya membenarkan orang putih menaiki gerabak keretapi tertentu.  Ini telah melanggar prinsip hak asasi manusia sejagat.

Pada tahun 1994, Afrika Selatan telah mengadakan pilihanraya demokratik yang pertama untuk memilih kerajaan baru.  Di tempat tinggal rakyat Afrika Selatan, barisan pengundi yang beratur untuk mengundi adalah sepanjang beberapa kilometer, mereka telah beratur di bawah matahari terik beberapa jam untuk mengundi.  Sebenarnya penungguan beberapa jam bukanlah perkara besar kerana mereka telah menunggu saat-saat demokrasi sepanjang hayat mereka.

Saya mendapati dunia ini sememangnya satu dunia yang majmuk dan kepelbagaian.  Pejuang kemerdekaan India, Mahatma Gandhi pernah bekerja sebagai peguam selama 21 tahun di Afrika Selatan pada awal abab kedua puluh.  Bekas Perdana Menteri Britain, Sir Winston Churchill juga pernah menjadi wartawan perang semasa Perang Boer, Afrika Selatan pada tahun 1899 dan pernah ditahan.  Beliau telah melarikan diri dan balik ke Britain dan dipilih sebagai Ahli Parlimen.  Ratusan tahun dulu, rakyat Afrika diekspot sebagai hamba ke Amerika Utara dan Amerika Selatan.  Saya telah membaca autobiografi Nelson Mandela “Long Walk to Freedom” dalam penerbangan ke Afrika Selatan dan semasa pulang membaca majalah Times yang terbaru melaporkan ulang tahun ke-50 pergerakan hak sivil samarata yang diketuai oleh pemimpin hak sivil Amerika Syarikat, Martin Luther King yang terkenal dengan ucapan  “I Have A Dream”.

Tokoh-tokoh dan peristiwa-peristiwa ini saling mempengaruhi satu sama lain.  Pejuang-pejuang kebebasan melawan satu sistem yang tidak adil di mana sesetengah kelompok masyarakat diberi layanan yang berbeza mengikut warna kulit.

 Iktibar yang saya pelajari ialah pentingnya melaksanakan dasar yang liberal dalam masyarakat majmuk. Semua kelompok masyarakat yang berbeza dari segi warna kulit, agama dan kebudayaan hendaklah diberi layanan yang sama dan adil. Sekiranya tidak, masyarakat majmuk akan umbang-ambing dan ketidakpuasan rakyat akan timbul sehinggaka regim yang melaksanakan dasar belah bahagi itu akan tumbang seperti tumbangnya regim yang melaksanakan dasar apartheid di Afrika Selantan. 


 
Wakil  Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang menghadiri Persidangan Ke-59 Commonwealth Parliamentary Association (CPA), dari kiri YB Dato Hjh Jahara bt Hamid (Ketua Pembangkang), YB Hj Maktar bin Hj Shapee (Timbalan Speaker), YB Dato Law Choo Kiang (Speaker), YB Chow Kon Yeow (EXCO Pulau Pinang) dan YB Wong Hon Wai (Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam)




 YB Wong Hon Wai mengambil gambar bersama portret Nelson Mandela




 Delegasi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bersama pelajar Afrika Selatan di depan Muzium Aparthied, Johannersberg, Afrika Selantan



Wakil dari Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, dari kiri ialah YB Chow Kon Yeow (EXCO Pulau Pinang), YB Wong Hon Wai (Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Awam) , YB Dato Hjh Jahara bt Hamid (Ketua Pembangkang), dan  YB Dato Law Choo Kiang (Speaker).  





No comments: